Published on

Banggi di Garis Hadapan Geopolitik: Antara Diplomasi, Kedaulatan dan Ketahanan Komuniti

Pulau Banggi selama ini lebih dekat dengan cerita tentang laut yang luas, kebun kelapa sawit dan kelapa, keindahan sebuah pulau yang tercatat sebagai pulau terbesar di Malaysia, serta kehidupan masyarakat kepulauan yang sejak sekian lama membina kehidupan bersama laut, tanah dan alam sekelilingnya. Namun kedudukannya di hujung utara Sabah kini menjadikan Banggi semakin penting dalam landskap keselamatan serantau. Kira kira 50 kilometer di sebelah utara pulau ini terletak Pulau Balabac di Palawan, Filipina, yang dipisahkan oleh Selat Balabac dan berada berhampiran laluan antara Laut Sulu dengan Laut China Selatan. Sejak 2023, Balabac menjadi antara lokasi di bawah Enhanced Defense Cooperation Agreement atau EDCA antara Filipina dan Amerika Syarikat. Perkembangan latihan ketenteraan termasuk Balikatan 2026 pula memperlihatkan peningkatan nilai strategik kawasan tersebut. Dari sebuah pulau yang selama ini jauh daripada perhatian geopolitik dunia, Banggi kini berada semakin hampir dengan satu percaturan yang jauh lebih besar.

Persaingan Amerika Syarikat dan China di rantau Indo Pasifik bukanlah sesuatu yang baharu. Laut China Selatan sejak sekian lama menjadi ruang pertembungan kepentingan ekonomi, tuntutan wilayah, laluan perdagangan dan pengaruh kuasa besar. Filipina pula terus memperkukuh hubungan pertahanannya dengan Washington ketika berhadapan pertikaian maritim dengan Beijing. Namun adalah terlalu mudah sekiranya setiap perkembangan di rantau ini hanya dibaca sebagai cerita China melawan Amerika. Realitinya jauh lebih kompleks. Setiap negara mempunyai kepentingan nasional, dasar luar dan pertimbangan keselamatannya sendiri. Malaysia juga begitu. Apa yang berlaku di Balabac, Laut Sulu dan Laut China Selatan perlu kita fahami dengan ilmu, kewaspadaan dan pertimbangan yang matang, bukan dengan ketakutan atau sentimen yang berlebihan.

Perkara inilah yang antara lain menjadi perbincangan dalam Bicara Lapangan: Geopolitik, Kerja Kemanusiaan dan Keselamatan Petugas Kemanusiaan di Lapangan yang dianjurkan Malaysian Relief Agency, MRA bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah pada 3 September lalu. Bicara tersebut menghimpunkan Presiden MRA Haji Khairil Annuar Khalid, Timbalan Presiden MRA Sir Mohd Rezaidi Mohd Ishak serta veteran VAT 69 Sir Johari Ahmad, dengan Dr. Badariah Binti Saibeh sebagai moderator. Perbincangan itu membawa geopolitik keluar daripada sekadar peta dan teori, lalu melihatnya melalui pengalaman lapangan, keselamatan manusia serta realiti masyarakat yang hidup berhampiran kawasan sempadan. Antara dapatan penting yang dapat dirumuskan ialah Malaysia selama ini memainkan peranan diplomatik yang seimbang dan progresif. Amerika Syarikat bukan musuh kita. China juga bukan lawan kita. Kedua duanya merupakan kuasa besar yang mempunyai kepentingan tersendiri, sementara Malaysia perlu terus menjaga kepentingan dan pendiriannya sendiri.

Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang penting dengan China, dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan perdagangan, diplomatik serta keselamatan yang baik dengan Amerika Syarikat dan rakan rakan ASEAN. Inilah keseimbangan yang perlu terus dipertahankan. Bersahabat dengan semua tidak bermaksud kita tidak mempunyai pendirian. Berkecuali pula bukan bermaksud kita boleh mengabaikan perkembangan yang berlaku di sekeliling negara. Diplomasi yang baik perlu berjalan seiring dengan keupayaan mempertahankan kedaulatan. Malaysia tidak perlu mencipta musuh atau melihat setiap pergerakan kuasa besar sebagai ancaman, tetapi negara juga tidak boleh terlalu selesa sehingga keselamatan sempadan, perairan dan masyarakat yang tinggal paling hampir dengannya dipandang ringan. Kita boleh memilih jalan diplomasi, tetapi kita tidak boleh memilih untuk mengubah kedudukan geografi Sabah.

Atas sebab itu, keselamatan Pulau Banggi dan kawasan kepulauan di utara Sabah tidak boleh difahami semata mata melalui kapal, radar, dron, aset pertahanan atau pos keselamatan. Kesemuanya penting, tetapi benteng sesebuah negara juga dibina daripada masyarakat yang memahami persekitaran mereka. Komuniti tempatan perlu sentiasa diberikan pemahaman yang baik mengenai perkembangan semasa, keselamatan sempadan, undang undang, tatacara pelaporan serta kepentingan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Mereka yang tinggal di pulau dan kawasan pesisir bukan sekadar masyarakat yang jauh daripada pusat pentadbiran. Mereka berada di antara kelompok yang paling hampir dengan sempadan negara. Apabila masyarakat cakna, memahami hak serta tanggungjawab, tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin dan mengetahui kepada siapa sesuatu perkara perlu dilaporkan, ketahanan sesebuah kawasan sebenarnya menjadi jauh lebih kuat.

Dalam konteks yang sama, pekerja kemanusiaan, pertubuhan masyarakat sivil, sukarelawan dan kumpulan sosial mempunyai peranan yang semakin penting. Kerja kemanusiaan tidak seharusnya hanya dilihat ketika banjir melanda, bencana berlaku atau apabila bantuan makanan perlu dihantar kepada masyarakat. Di kawasan sempadan seperti Pulau Banggi, kerja kemanusiaan juga boleh menjadi jambatan untuk membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, bersedia dan memahami persekitaran mereka. Petugas di lapangan perlu memahami konteks geopolitik dan keselamatan, mematuhi undang undang serta sentiasa berkoordinasi dengan autoriti berkaitan. Dalam masa yang sama, hubungan mereka yang dekat dengan komuniti boleh membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan, kesiapsiagaan, tanggungjawab sivik dan rasa cinta kepada negara. Patriotisme tidak semestinya hadir melalui slogan yang besar. Kadang kadang ia bermula daripada perkara kecil, memahami apa yang berlaku di sekeliling, menghormati undang undang, membantu jiran dan sedar bahawa tanah serta laut tempat kita mencari kehidupan adalah sebahagian daripada negara yang perlu kita jaga.

Akhirnya, Pulau Banggi mengingatkan kita bahawa geopolitik tidak selamanya tinggal di meja rundingan Washington, Beijing, Manila atau Kuala Lumpur. Lambat laun ia menyentuh manusia biasa. Ia sampai kepada nelayan yang keluar sebelum subuh, keluarga yang bergantung kepada hasil laut dan kebun, anak anak yang membesar di pulau, anggota keselamatan yang menjaga sempadan dan pekerja kemanusiaan yang masuk ke kampung kampung membawa bantuan serta pengetahuan. 

Amerika Syarikat mempunyai strateginya. China mempunyai kepentingannya. Filipina mempunyai pertimbangan keselamatannya sendiri. Malaysia pula harus terus mempunyai jalannya, berdiplomasi tanpa kehilangan pendirian, bersahabat tanpa mengorbankan kedaulatan dan membangunkan kawasan sempadan tanpa melupakan manusia yang tinggal di dalamnya. Kerana akhirnya, menjaga negara bukan hanya tugas mereka yang memakai uniform. Ia adalah tanggungjawab kita bersama. Di Banggi, sempadan Malaysia bukan sekadar satu garisan pada peta. Di situ ada laut, ada tanah, ada kehidupan dan ada sebuah negara yang perlu terus kita jaga.

Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia!

Mohd Lutfi Hafifi
7 September 2026
Pekan Karakit, Pulau Banggi, Kudat, Sabah

Rujukan :

  1. https://www.defense.gov/News/Releases/Release/Article/3349257/philippines-us-announce-locations-of-four-new-edca-sites/
  2. https://www.dvidshub.net/news/564494/balikatan-2026-mrf-d-26-joint-allied-forces-simulate-maritime-security-balabac-island
  3. https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/pertahanan-negara-mindef-ambil-kira-pengalaman-ancaman-keselamatan-perkembangan-pertahanan-negara-jiran/


Penafian:
Segala pandangan, tafsiran dan pendapat yang dikemukakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi mana mana organisasi, institusi, agensi atau individu yang berkaitan.