← Back Published on

Hiruk Kota Damsyik, Ingatan Dekad Lalu

Hiruk Kota Damsyik, Ingatan Dekad Lalu

Ada kota yang tidak pernah benar-benar pergi dari ingatan. Ia menetap diam-diam seperti doa yang tidak pernah putus. Damsyik bagi saya bukan sekadar sebuah kota, tetapi sebuah lapisan kenangan yang hidup antara hiruk manusia, aroma sejarah dan bisik masa lalu yang masih bernafas. Sekitar tahun 2007 hingga 2010 ketika saya menuntut di Jordan, saya sering berpeluang menjejakkan kaki ke Syria. Pada waktu itu, Syria masih tenang, belum disentuh perang. Damsyik menjadi kota ziarah yang dekat di hati dan dalam banyak keadaan menjadi transit sebelum saya meneruskan perjalanan ke Istanbul, Turkiye. Ketika itu, perjalanan terasa ringan, seolah dunia ini luas tetapi masih aman untuk dijelajahi.

Saya masih ingat suasana Souq Al-Hamidi yang begitu hidup. Dibina pada akhir abad ke-19 ketika era Uthmaniyyah, souq ini menjadi antara pasar paling ikonik di Timur Tengah dan laluan ke Masjid Umayyah. Damsyik sendiri merupakan antara bandar tertua di dunia, dengan sejarah ribuan tahun. Hiruknya seperti irama kota yang bernafas, ditambah kelembutan dialek warga Syria yang mesra dan mudah difahami. Makanannya pula cukup autentik, daripada nasi Arab berempah hingga “booza” iaitu aiskrim tradisional yang kenyal dan disalut pistachio, menjadikan setiap kunjungan satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Namun, sejarah tidak pernah statik. Sekitar penghujung tahun 2011, Arab Spring merebak ke Syria dan mencetuskan gelombang protes rakyat terhadap pemerintahan Bashar al-Assad, yang pada awalnya menuntut reformasi politik dan kebebasan sivil sebelum bertukar menjadi konflik bersenjata apabila tindakan keras kerajaan mencetuskan pemberontakan lebih meluas. Krisis ini kemudiannya berkembang menjadi antara konflik paling kompleks dalam dunia moden dengan penglibatan pelbagai kumpulan dalaman serta campur tangan kuasa luar seperti Russia, United States dan Iran, manakala United Nations menyifatkannya sebagai salah satu krisis kemanusiaan terbesar abad ke-21. Dalam konteks masa depan, proses pemulihan Syria yang kemerdekaan moden negaranya masih dianggap “setahun jagung” dalam sejarah panjang tamadun memerlukan lebih daripada sekadar penghentian konflik; ia menuntut usaha pembinaan semula yang menyeluruh.

Saya kembali menjejak Syria pada tahun 2023 selepas lebih satu dekad tidak ke sana, namun bukan lagi sebagai pengembara, tetapi sebagai petugas kemanusiaan dalam misi gempa bumi. Saya tidak kembali ke Damsyik, tetapi ke kawasan sempadan seperti Azaz dan Jindires. Di situlah saya melihat sendiri bagaimana perang telah mengubah komposisi masyarakat. Wajah manusia menjadi lebih berat daripada usia mereka, kehidupan menjadi rapuh dan ketidakpastian menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Kanak-kanak belajar tentang kehilangan sebelum sempat memahami erti kehidupan.

Rumah bukan lagi tempat berlindung, tetapi menjadi simbol sesuatu yang telah hilang.

Saya pernah bertugas di Yemen dan beberapa lokasi krisis lain, dan tiada satu pun pengalaman itu meninggalkan rasa manis. Perang hanya meninggalkan luka yang panjang dan tidak pernah sembuh.

Dalam dunia hari ini, apabila kuasa besar mula menjadikan perang sebagai alat untuk berkuasa, arah masa depan manusia terasa semakin kabur dan tidak menentu.

Seingat saya, perang tidak pernah menjanjikan keindahan, hanya kehilangan yang berulang… jadi, sudahkah kita benar-benar bersedia untuk menghadapi fasa dunia yang sedang terbentuk ini?

Mohd Lutfi Hafifi - 10 April 2026