KRISIS MAKANAN DUNIA 2026: APA YANG PERLU KITA AMBIL TAHU?
Empat tahun lalu, sekitar tahun 2022, saya pernah menulis sedikit mengenai kebimbangan dunia terhadap krisis makanan. Ketika itu kita baru sahaja keluar daripada pandemik Covid 19, perang Rusia dan Ukraine pula baru bermula, harga barang meningkat, rantaian bekalan dunia terganggu dan inflasi berlaku di banyak negara.
Sekarang kita sudah berada pada tahun 2026. Persoalannya, adakah keadaan semakin baik?
Jawapannya mungkin ya bagi sesetengah negara, tetapi secara keseluruhannya isu makanan dunia masih belum selesai. Malah cabarannya semakin luas. Hari ini isu makanan bukan sekadar mengenai sama ada makanan itu ada atau tidak, tetapi juga sama ada rakyat mampu membeli makanan tersebut.
Laporan terbaru FAO yang diterbitkan pada Julai 2026 menganggarkan sekitar 645 juta manusia masih berhadapan dengan kelaparan pada tahun 2025. Angka itu sebenarnya menurun berbanding tahun sebelumnya, tetapi 645 juta manusia masih satu angka yang terlalu besar untuk kita anggap dunia sudah keluar daripada masalah ini.
Dalam masa yang sama, Global Report on Food Crises 2026 melaporkan sekitar 266 juta manusia di 47 negara dan wilayah berhadapan dengan tahap ketidakjaminan makanan akut yang tinggi sepanjang tahun 2025. Hampir 23 peratus daripada populasi yang dianalisis berada dalam keadaan tersebut.
Maknanya krisis makanan ini sebenarnya bukan sekadar isu pengeluaran makanan.
Ia juga isu kemampuan, akses, konflik, cuaca, pengangkutan dan kestabilan sesebuah negara.
Kalau kita lihat Singapura, isu keterjaminan makanan masih diberikan perhatian yang sangat serius. Negara kecil itu mengimport lebih 90 peratus daripada keperluan makanannya. Tetapi apa yang menarik, pada tahun 2025 Singapura mendapatkan bekalan makanan daripada lebih 180 buah negara dan wilayah.
Mereka tahu mereka tidak mampu menghasilkan semuanya sendiri.
Sebab itu strategi mereka bukan semata mata mahu menanam lebih banyak makanan dalam negara, tetapi memastikan sumber bekalan dipelbagaikan, mempunyai stok tertentu, meningkatkan pengeluaran tempatan dan menjalinkan hubungan dengan lebih banyak negara pembekal.
Pada November 2025, Singapura memperkenalkan Singapore Food Story 2 yang memberikan fokus kepada empat perkara utama iaitu mempelbagaikan import, membina kerjasama antarabangsa, menyimpan stok dan meningkatkan pengeluaran tempatan.
Mungkin kita boleh belajar sesuatu daripada pendekatan ini.
Mereka bukan bercakap mengenai bagaimana mahu menjadi negara yang menghasilkan semua makanannya sendiri. Mereka bercakap mengenai pilihan.
Kalau satu pintu tertutup, masih ada pintu lain.
Indonesia pula sejak era Presiden Jokowi lagi banyak memberikan penekanan kepada soal kemandirian pangan. Sekarang pendekatan itu diteruskan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto dengan perhatian besar diberikan kepada pengeluaran makanan dalam negara.
Mesejnya mudah.
Makanan bukan sekadar soal perut. Makanan juga soal kedaulatan.
Brunei Darussalam juga tidak terkecuali. Sebuah negara yang mempunyai penduduk jauh lebih kecil daripada Malaysia pun melihat keterjaminan makanan sebagai sesuatu yang perlu diberikan perhatian. Mereka terus meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan dan dalam masa yang sama memastikan bekalan strategik tertentu sentiasa tersedia.
Bagaimana pula dengan Malaysia?
Kita sebenarnya mempunyai kelebihan dari segi tanah, cuaca, sumber laut dan tenaga manusia. Tetapi kita masih bergantung kepada import bagi sebahagian daripada keperluan makanan negara.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai import makanan negara mencecah sekitar RM93.8 bilion pada tahun 2024. Jumlah itu meningkat 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
RM93.8 bilion untuk makanan dalam masa setahun bukan angka yang kecil.
Lebih menarik untuk kita fikirkan, pada tahun 2024 Malaysia masih mempunyai kadar kebergantungan import sekitar 92.1 peratus bagi daging kambing dan 83.5 peratus bagi daging lembu. Dalam masa yang sama, ada beberapa komoditi yang sebenarnya kita mampu hasilkan dengan baik seperti telur ayam dan itik yang mencatatkan tahap sara diri melebihi 100 peratus.
Maknanya kita bukan tidak mampu.
Cuma untuk beberapa jenis makanan, kebergantungan kepada luar masih besar.
Saya tidak mengatakan kita perlu menghasilkan semua benda sendiri. Itu hampir mustahil dalam dunia hari ini. Perdagangan antara negara tetap penting.
Tetapi yang perlu kita fikirkan ialah apa akan berlaku kalau satu hari nanti negara pembekal menghentikan eksport?
Apa akan berlaku kalau laluan kapal dagang terganggu, harga minyak naik terlalu tinggi, kos baja meningkat atau beberapa negara pengeluar makanan utama dilanda kemarau dan banjir pada masa yang sama?
Dan yang paling penting, berapa lama kita boleh bertahan?
Kita pernah melihat bagaimana satu keputusan negara lain boleh memberikan kesan segera kepada negara jiran. Pada tahun 2022, ketika Malaysia menghentikan sementara eksport ayam, Singapura yang ketika itu bergantung kepada bekalan ayam dari Malaysia terpaksa segera mendapatkan sumber alternatif. Hari ini Singapura sendiri menggunakan pengalaman itu sebagai antara contoh kenapa sumber makanan tidak boleh bergantung kepada satu tempat sahaja.
Ini contoh paling dekat dengan kita.
Kalau Malaysia boleh membuat keputusan sedemikian ketika berhadapan masalah bekalan domestik, negara lain juga boleh melakukan perkara sama apabila rakyat mereka sendiri memerlukan makanan.
Sebab dalam keadaan krisis, setiap negara akan melihat rakyat mereka dahulu.
Pada 29 Januari 2026, Malaysia melancarkan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030. Dasar ini melihat keterjaminan makanan melalui enam dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan, kestabilan, kemampanan dan agensi.
Bagi saya ini satu perkembangan yang baik.
Sekurang kurangnya kita mempunyai satu dasar yang melihat isu makanan secara lebih menyeluruh.
Tetapi seperti biasa, rakyat bukan mahu melihat dasar sahaja.
Rakyat mahu melihat hasil.
Rakyat mahu tahu apakah makanan cukup, apakah harga masih mampu dibayar, apakah petani kita masih mampu bertahan, apakah nelayan masih mampu turun ke laut dan apakah pengusaha makanan masih mampu berniaga.
Akhirnya rakyat mahu tahu, kalau dunia menghadapi masalah besar, apakah negara kita sudah benar benar bersedia?
Pada tahun 2022 kita banyak bercakap mengenai perang Rusia dan Ukraine. Sekarang dunia masih berhadapan dengan konflik di beberapa kawasan lain dan kesannya tidak semestinya berhenti di medan perang.
World Food Programme sendiri menyatakan konflik masih menjadi punca utama krisis kelaparan dunia pada 2026, selain kejutan ekonomi dan risiko iklim.
Kita mungkin melihat perang berlaku jauh daripada Malaysia.
Tetapi kesannya boleh sampai ke dapur kita.
Harga minyak meningkat, kos penghantaran meningkat, harga baja meningkat, kos pengeluaran meningkat dan akhirnya harga makanan juga boleh meningkat.
Sebab itu saya melihat isu makanan ini bukan lagi sekadar isu pertanian.
Ia adalah isu keselamatan negara.
Kita pernah melalui Covid 19. Ketika itu kita mula sedar betapa rapuhnya rantaian bekalan dunia.
Barang yang biasanya mudah diperoleh tiba tiba sukar. Penghantaran terganggu. Harga meningkat. Sempadan ditutup.
Kita belajar bahawa dunia sebenarnya sangat bergantung antara satu sama lain.
Jadi pada tahun 2026, saya rasa persoalannya bukan lagi sama ada krisis makanan akan berlaku atau tidak.
Krisis itu sebenarnya sudah berlaku di banyak tempat, cuma tahapnya berbeza.
Ada negara yang rakyatnya langsung tidak mempunyai makanan yang cukup. Ada negara yang makanan ada tetapi terlalu mahal. Ada negara yang mempunyai wang tetapi terlalu bergantung kepada import. Ada negara yang mampu menghasilkan makanan tetapi pengeluarannya berhadapan dengan perubahan cuaca yang semakin sukar dijangka.
Malaysia mungkin belum berada dalam keadaan yang paling buruk, tetapi itu bukan alasan untuk kita selesa.
Bukan apabila harga naik baru kita mahu bertindak.
Bukan apabila bekalan kurang baru kita mahu mencari alternatif.
Bukan apabila berlaku krisis baru kita mahu bercakap mengenai simpanan makanan.
Perancangan mesti dibuat sebelum krisis berlaku.
Kita juga perlu memberikan perhatian kepada Sabah dan Sarawak kerana cabaran logistik di Borneo tidak sama seperti di Semenanjung. Ada kawasan yang jauh, ada kawasan yang bergantung kepada jalan tertentu dan ada kawasan yang memerlukan perjalanan melalui laut.
Kalau berlaku gangguan bekalan, masyarakat yang tinggal jauh daripada pusat bandar mungkin antara golongan yang lebih awal merasakan kesannya.
Sebab itu isu keterjaminan makanan tidak boleh dilihat secara umum sahaja. Kita perlu melihat pengeluaran tempatan, pengangkutan, gudang penyimpanan, sumber bekalan, harga dan paling penting kemampuan rakyat untuk membeli.
Akhirnya makanan bukan sekadar apa yang ada di atas meja.
Makanan berkait dengan kesihatan, kemiskinan, ekonomi, kestabilan masyarakat dan keselamatan negara. Kalau isu makanan menjadi semakin buruk, banyak masalah lain akan mengikutinya.
Beberapa negara sudah melalui keadaan ini. Mungkin kita tidak nampak kerana ia berlaku jauh daripada kita atau mungkin kita rasa ia tidak akan berlaku di sini.
Tetapi Covid 19 sudah mengajar kita satu perkara.
Apa yang berlaku jauh daripada Malaysia boleh sampai kepada kita dengan sangat cepat.
Menariknya, dua hari lalu Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis satu catatan ringkas mengenai masa depan. Katanya, satu perkara yang pasti akan berlaku pada masa hadapan ialah perubahan. Malah perkara yang paling kita sayangi sekalipun akan berubah.
Ringkas, tetapi sebenarnya besar maknanya.
Dunia yang kita kenal hari ini tidak semestinya sama lima atau sepuluh tahun akan datang. Cara kita membeli makanan boleh berubah, harga boleh berubah, negara pembekal boleh berubah, cuaca boleh berubah dan hubungan antara negara juga boleh berubah.
Sebab itu keterjaminan makanan tidak boleh dirancang berdasarkan keadaan hari ini sahaja.
Kita perlu bersedia untuk dunia yang mungkin sangat berbeza daripada sekarang.
Kalau hari ini kita masih selesa kerana makanan mudah diperoleh di pasar raya, itu tidak bermaksud keadaan yang sama akan kekal selama lamanya. Kalau hari ini kita mampu mengimport, tidak bermaksud negara lain akan sentiasa mampu atau mahu mengeksport kepada kita.
Perubahan itu pasti.
Dan dalam soal makanan, negara yang lambat bersedia mungkin akan membayar harga yang lebih mahal apabila perubahan itu benar benar datang.
Jadi persoalannya sekarang bukan lagi,
Adakah krisis makanan akan berlaku?
Tetapi,
Kalau ia berlaku kepada kita, sejauh mana kita sudah bersedia?
Krisis makanan bukan perkara main main.
Kalau makanan terganggu, yang lain akan menuruti.
Dan seperti yang diingatkan Tun Dr. Mahathir tentang masa depan, things will change.
Persoalannya bukan sama ada perubahan akan datang.
Persoalannya, adakah kita sudah bersedia apabila ia datang?
Mohd Lutfi Hafifi.
Post a comment