Published on

Catatan dari Thailand Content Market 2026

Mengikuti Thailand Content Market 2026 menjadi satu pengalaman baharu buat saya. Sebagai seorang yang masih boleh dianggap pemula dalam dunia pasaran kandungan kreatif, banyak perkara yang saya lihat dan pelajari sepanjang berada di sana. Saya berpeluang mengikuti Team Kristal Azmir yang diketuai oleh saudara Azharul Azmir, Penerbit dan juga bekas rakan sekerja di TV dahulu, yang mana pada kali ini beliau bekerjasama dengan Japan-ASEAN Centre dan turut terlibat dalam pavilion mereka sepanjang acara berlangsung.

Bagi saya, suasana pasaran kandungan kreatif ini cukup menarik kerana ia menghimpunkan pelbagai pemain industri dalam satu ruang. Ada penerbit, pemilik harta intelek atau IP, penyiar, platform digital dan wakil agensi yang datang dengan tujuan hampir sama, iaitu mencari peluang kerjasama. Di sinilah saya mula melihat bahawa sesebuah kandungan bukan sekadar perlu kreatif, tetapi juga perlu tahu bagaimana hendak dipasarkan, dilesenkan dan dipadankan dengan pihak yang sesuai.

Antara sesi yang paling memberi kesan kepada saya ialah perkongsian yang diadakan oleh Japan-ASEAN Centre. Seorang panel dari Jepun berkongsi pandangan bahawa jurang antara negara dan bahasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk penggiat kandungan kreatif di ASEAN bergerak lebih dinamik. Apa yang lebih penting ialah mempunyai sasaran yang betul, kandungan yang sesuai dan tahu dengan siapa kita mahu bekerjasama. Pandangan itu nampak ringkas, tetapi cukup dekat dengan realiti industri.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya mengikuti Azharul Azmir ke acara industri kandungan antarabangsa. Kali terakhir saya mengikuti beliau ialah pada tahun 2019, ketika kami menghadiri BFI London Film Festival di London dan MIPCOM di Cannes, Perancis. Saya melihat sendiri bagaimana beliau sentiasa rajin dan konsisten mengikuti pelbagai pasaran kandungan serta festival antarabangsa untuk membina jaringan, memahami pasaran dan mencari ruang kerjasama baharu.

Apa yang paling berkesan ingin saya bawa pulang daripada pengalaman ini ialah kesedaran bahawa peluang di peringkat antarabangsa bukan hanya untuk syarikat besar. Penggiat kandungan kreatif berskala kecil juga boleh memainkan peranan dan mengambil peluang, asalkan berani hadir, memperkenalkan diri dan membawa kandungan yang jelas nilainya. Kadang-kadang, langkah pertama itu bukan terus menjual sesuatu, tetapi membuka perbualan, membina hubungan dan mencari orang yang tepat untuk bekerjasama.

Semoga ketemu di suasana pasaran kandungan kreatif yang lain pula!

Lutfi Hafifi, 

Bangkok, Thailand.