Krisis Pendatang Global: Antara Kemanusiaan, Keselamatan dan Maruah Negara
Oleh : Mohd Lutfi Hafifi
Selama puluhan tahun, dunia melihat isu pendatang dan pelarian melalui lensa kemanusiaan. Mereka dianggap sebagai manusia yang kehilangan tanah, rumah, pekerjaan dan keselamatan akibat perang, konflik politik, penindasan atau kemiskinan yang memaksa mereka meninggalkan negara asal.
Atas nama kemanusiaan, mereka diberikan perlindungan. Atas nama belas kasihan, mereka diberi ruang untuk bernafas. Atas nama hak untuk hidup, mereka diterima masuk ke negara lain dengan harapan suatu hari nanti mereka dapat membina semula kehidupan yang telah runtuh.
Namun, realiti dunia hari ini semakin berubah.
Krisis pendatang tidak lagi dilihat semata mata sebagai isu kemanusiaan. Ia mula dibaca sebagai persoalan keselamatan, kestabilan sosial, ekonomi dan identiti nasional. Apa yang dahulu dianggap sebagai tanggungjawab moral masyarakat antarabangsa kini semakin dipersoalkan oleh rakyat di negara negara hos.
Di Eropah, perubahan naratif ini kelihatan semakin jelas. Wilayah yang suatu ketika dahulu dianggap terbuka kepada pelarian kini berdepan tekanan dalaman yang semakin kuat. Rakyat mula bertanya tentang pekerjaan, kos sara hidup, tekanan terhadap sistem kebajikan, perubahan demografi dan kemampuan negara untuk terus menerima kemasukan pendatang dalam jumlah besar.
Sentimen ini bukan lagi berada di pinggir masyarakat. Ia sudah masuk ke tengah wacana politik.
Ketegangan yang Semakin Terbuka
Insiden keganasan terhadap komuniti pendatang di Northern Ireland menjadi antara gambaran terbaru tentang betapa tegangnya keadaan ini. Kediaman dan premis yang dikaitkan dengan pendatang, termasuk komuniti dari Afrika dan Muslim, menjadi sasaran kemarahan penunjuk perasaan.
Dalam suasana yang tidak menentu itu, gereja tempatan terpaksa membuka pintu sebagai tempat perlindungan sementara. Pihak polis pula ditempatkan bagi mengawal keadaan dan mengelakkan serangan lanjut.
Peristiwa seperti ini menunjukkan satu perkara. Isu pendatang bukan lagi sekadar angka dalam laporan dasar. Ia sudah menyentuh emosi masyarakat. Ia sudah mencetuskan ketakutan. Ia sudah menjadi api yang mudah menyambar apabila bercampur dengan tekanan ekonomi, politik identiti dan rasa tidak puas hati rakyat tempatan.
Di banyak negara Eropah, migrasi kini menjadi tema utama pilihan raya. Ada parti politik yang membina sokongan melalui janji untuk mengetatkan sempadan. Ada yang mendesak pelarian dihantar pulang. Ada juga yang melihat kehadiran pendatang sebagai ancaman kepada budaya dan keselamatan negara.
Di sinilah dilema besar bermula. Sampai bila sesebuah negara mampu terus berbelas kasihan jika rakyatnya sendiri mula merasakan mereka sedang menanggung beban yang tidak seimbang?
Beban Negara Penandatangan Konvensyen Pelarian
Negara negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 mempunyai tanggungjawab undang undang yang besar terhadap pelarian. Mereka perlu memberikan perlindungan tertentu kepada golongan ini, termasuk akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan hak sosial yang lain.
Pada awalnya, prinsip ini lahir daripada pengalaman pahit perang dan kemusnahan. Dunia tidak mahu lagi melihat manusia yang melarikan diri daripada bahaya dibiarkan tanpa perlindungan.
Namun, dalam keadaan ekonomi global yang semakin menekan, tanggungjawab ini mula menjadi perdebatan. Negara hos berdepan kos yang tinggi. Sistem kebajikan menjadi terbeban. Rakyat tempatan pula mula mempersoalkan mengapa bantuan kepada orang luar dilihat lebih cepat berbanding penyelesaian kepada masalah mereka sendiri.
Maka, perbahasan hari ini bukan lagi sekadar sama ada pelarian perlu dibantu atau tidak. Persoalannya jauh lebih sukar. Bagaimana bantuan itu dapat diberikan tanpa menggugat kestabilan negara hos? Bagaimana negara mahu menjaga kemanusiaan tanpa mengabaikan rakyat sendiri?
Dilema Pelarian Syria
Situasi pelarian Syria menunjukkan betapa rumitnya isu ini.
Selepas lebih sedekad konflik, jutaan rakyat Syria melarikan diri ke Turki dan negara negara Eropah. Mereka membina kehidupan baharu di tempat orang. Ada yang berkeluarga, berniaga, bekerja dan membentuk komuniti sendiri.
Kini, Syria sudah pun merdeka, timbul pula persoalan sama ada mereka perlu pulang ke tanah air. Dari sudut dasar antarabangsa, perlindungan pelarian sepatutnya bersifat sementara. Apabila negara asal kembali selamat, proses pemulangan sepatutnya boleh dilakukan.
Tetapi realitinya tidak semudah itu.
Bagi mereka yang sudah bertahun tahun hidup di negara hos, pulang bukan sekadar menaiki kapal terbang kembali ke tanah air. Pulang bererti memulakan semula hidup dari kosong. Pulang bererti mencari rumah, pekerjaan dan keselamatan yang belum tentu tersedia. Pulang juga bererti meninggalkan kehidupan baharu yang telah dibina dengan susah payah.
Di sinilah dunia berdepan pertentangan besar antara prinsip kemanusiaan dan kepentingan nasional.
Kedudukan Malaysia yang Berbeza
Dalam konteks Malaysia, kedudukannya berbeza daripada banyak negara Barat. Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 mahupun Protokol 1967. Ini bermakna Malaysia tidak terikat dengan kewajipan undang undang antarabangsa untuk memberikan status pelarian seperti yang diamalkan di negara negara penandatangan.
Namun, tidak menandatangani konvensyen bukan bermakna Malaysia boleh memandang ringan isu ini.
Sebagai sebuah negara anggota Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan negara yang sering mengangkat nilai kemanusiaan, Malaysia tetap berdepan tekanan moral, diplomatik dan sosial dalam menangani isu pelarian. Tambahan pula, kedudukan Malaysia di rantau yang berdepan pelbagai konflik menjadikan isu ini tidak boleh dielakkan begitu sahaja.
Persoalannya, jika Malaysia tidak terikat dengan konvensyen antarabangsa, apakah yang harus dilakukan?
Jawapannya bukan sekadar menerima atau menolak.
Malaysia memerlukan dasar yang jelas, tegas dan berperikemanusiaan. Negara perlu membezakan antara mereka yang benar benar melarikan diri daripada konflik dengan mereka yang masuk atas faktor ekonomi. Kawalan sempadan perlu diperkukuh. Proses pengesahan identiti perlu dipercepatkan. Kerjasama dengan UNHCR dan negara ketiga juga perlu dipertingkatkan supaya Malaysia tidak menjadi destinasi kekal kepada pelarian yang sepatutnya ditempatkan semula.
Pada masa yang sama, kepentingan rakyat tempatan tidak boleh diketepikan. Rakyat berhak bertanya tentang keselamatan, pekerjaan, perumahan, kos sara hidup dan penggunaan kemudahan awam. Soalan soalan ini tidak wajar terus dilabel sebagai kebencian. Ia juga sebahagian daripada kegelisahan sebenar masyarakat yang perlu dijawab dengan dasar, bukan hanya dengan slogan kemanusiaan.
Pengalaman Sejarah Pelarian Di Malaysia
Malaysia sebenarnya bukan asing dalam mengurus isu pelarian.
Sejarah pernah mencatatkan bagaimana negara menerima kehadiran pelarian Vietnam selepas Perang Vietnam pada tahun 1970an dan 1980an. Pada waktu itu, Malaysia bersama beberapa negara ASEAN lain mengambil pendekatan memberikan perlindungan sementara sebelum pelarian ditempatkan semula ke negara ketiga.
Pengalaman itu penting untuk diingati.
Ia menunjukkan bahawa Malaysia pernah memainkan peranan kemanusiaan, tetapi dalam kerangka yang jelas. Kita membantu atas dasar kemanusiaan, namun prinsipnya tetap sama. Malaysia bukan destinasi akhir. Malaysia hanyalah tempat perlindungan sementara sebelum penyelesaian lebih kekal dicapai.
Maka, sejarah ini sepatutnya menjadi rujukan dalam mengurus krisis pelarian hari ini.
Masalahnya, isu pelarian di Malaysia sering kali berubah menjadi modal politik. Setiap kali menjelang pilihan raya, isu ini kembali panas. Ada yang menggunakannya untuk membangkitkan ketakutan. Ada yang menjadikannya bukti kegagalan kerajaan. Ada pula yang menjadikan pelarian sebagai sasaran kemarahan rakyat.
Akhirnya, masyarakat berpecah kepada dua kelompok yang sama sama ekstrem. Satu pihak melihat semua pelarian sebagai mangsa yang mesti diterima tanpa banyak soal. Satu pihak lagi melihat semua pelarian sebagai ancaman yang mesti dihalau segera.
Sedangkan persoalan sebenar lebih besar daripada itu.
Bagaimana negara mahu mengurus mereka secara tersusun?
Di Mana Penilaian Kita?
Apakah penilaian kita terhadap isu pelarian?
Adakah kita mahu terus menjadikannya bahan hujatan netizen setiap kali timbul isu baharu? Adakah kita mahu terus membiarkan perbahasan ini bergerak atas emosi, marah, takut dan prasangka? Atau sudah tiba masanya kita menuntut satu dasar nasional yang lebih jelas, lebih tegas dan lebih berkesan?
Isu pelarian tidak boleh lagi hanya menjadi bahan kempen politik bermusim. Ia juga tidak wajar dibiarkan menjadi gelanggang maki hamun di media sosial.
Yang diperlukan ialah ketegasan mengurus.
Malaysia perlu menjadi negara transit yang efisien. Negara yang mampu mengenal pasti pelarian sebenar, mengurus data mereka dengan tepat, mengawal pergerakan mereka dengan teratur, mempercepatkan proses penempatan semula ke negara ketiga, dan apabila keadaan mengizinkan, melaksanakan pemulangan ke negara asal secara selamat, tersusun dan bermaruah.
Ini bukan soal membenci pelarian.
Ini juga bukan soal membuka pintu tanpa had.
Ini soal mengurus kemanusiaan dengan disiplin.
Sebuah negara tidak boleh hanya berbangga kerana mampu berbelas kasihan. Belas kasihan tanpa sistem akan akhirnya mencipta krisis baharu. Pada masa yang sama, ketegasan tanpa kemanusiaan akan menjadikan negara kehilangan nurani.
Maka, jalan tengahnya ialah dasar yang jelas.
Tegas pada sempadan. Teratur dalam pendaftaran. Telus dalam kerjasama antarabangsa. Adil kepada rakyat tempatan. Berperikemanusiaan kepada mereka yang benar benar memerlukan perlindungan.
Akhirnya, ukuran sebenar sesebuah negara bukan hanya pada sejauh mana ia sanggup membantu manusia yang sedang menderita. Ukuran sebenar juga terletak pada sejauh mana ia mampu mengurus bantuan itu tanpa mengorbankan keselamatan, kestabilan dan hak rakyat sendiri.
Di situlah letaknya penilaian kita.
Bukan pada siapa yang paling lantang menghukum.
Tetapi pada siapa yang paling berani menuntut penyelesaian.

Post a comment